SEDEKAH RAMADHAN SYRIA 2020/1441H

Perang saudara di Syria sudah berlanjutan sejak tahun 2011. Pada awalnya,  rakyat Syria hanya berdemontrasi menuntut Presiden Syria Bashar Al Assad meletakkan jawatan dan negara tersebut mengamalkan sistem demokrasi. Bantahan rakyat bermula di Deraa disambut dengan kekerasan oleh pihak kerajaan yang inginkan desakan rakyat dihapuskan segera menyebabkan keadaan menjadi kacau bilau dan tentangan rakyat merebak ke seluruh negara. Bantahan aman bertukar menjadi pertelingkahan bersenjata dan kemudian terus berkembang kepada perang saudara.

Di saat ini, perang saudara di Syria sudah melangkaui konflik diantara penyokong dan penentang Assad. Persengketaan dalaman kini menjadi peperangan besar-besaran melibatkan kuasa-kuasa luar dan masing-masing mempunyai agenda tersendiri. Suasana ini menjadikan keadaan semakin kompleks. Peperangan dijangka akan berlanjutan tanpa ada penghujung atau keputusan menang atau kalah dalam masa terdekat.

Dalam usaha Bashar Al Assad menguasai semula kubu terakhir puak penentang di Idlib, 600,000 penduduk terusir dan sekarang bertebaran di Utara Idlib, Afrin dan sebahagian lagi di Al Bab dan kawasan sekitarnya. Pelarian daripada Idlib ini adalah sebahagian daripada mereka yang telah menjadi pelarian di awal peperangan. Jumlah keseluruhan pelarian di Utara Syria dianggarkan seramai 6 juta orang.

Sementara itu, tindakan Turki mewujudkan zon selamat di Timur Laut (Northeast) Syria, dianggarkan 180,000 orang lagi terusir dan menjadi pelarian di sekitar Tal Abyad dan Manbij.

Kedudukan ketenteraan di Utara Syria pada Feb 2020.

Perancangan Projek Sedekah Ramadhan Al-I’tisam di Syria tahun ini ialah mengedarkan 1,000 pek pakej makanan kepada warga pelarian yang hidup sengsara di Afrin, Al Bab, Tal Abyad dan Manbij. Adakah anda akan bersama kami menyokong usaha ini?

Di Syria, Al-I’tisam menguruskan semua projek kami disini sendiri tanpa melalui mana-mana NGO tempatan atau Turki. Segala urusan kami diuruskan oleh sukarelawan yang dipimpin oleh Saudara Abu Hassan Alandaloosi dan dibantu oleh Team Syurga (Syrian Refugees Actions Group). Saudara Abu Hassan dan Team Syurga telah berkhidmat untuk kami semenjak di Douma lagi. Sekarang beliau kami lantik sebagai wakil kami di Gaziantep dan Utara Syria. Segala urusan bantuan dan perjalanan keluar masuk di Utara Syria akan diuruskan oleh beliau. Hubungan baik Abu Hassan dengan pejabat Gabenor Gaziantep dan Pejabat Presiden Ahli Majlis Al Bab serta Bza’a memudahkan segala urusan kami di Utara Syria.

Satu lagi kelebihan yang kami perolehi dengan menguruskan projek kami sendiri ialah kami dapat menjimatkan kos tanpa perlu membayar apa-apa kos pengurusan kepada pihak lain. Segala keperluan barang bantuan kami beli sendiri pada kos yang paling murah yang boleh diperolehi oleh Abu Hassan disana. Dengan penjimatan ini lebih ramai pelarian dapat dibantu dan ketirisan wang sumbangan dapat dibanteras.

Di Afrin, Al-I’tisam baharu sahaja selesai menyiapkan Fasa 1 sebuah perkampungan untuk pelarian dari Idlib. Fasa ke-2 akan dimulakan setelah wabak Covid-19 sedikit tenang.

Di perkampungan baru inilah edaran Projek Sedekah Ramadhan Syria di Afrin akan berpusat. Kami merancang untuk menyantuni sebanyak 250 keluarga pelarian yang baru sampai dari Idlib ke kawasan sekitar penempatan ini.

PAKEJ MAKANAN :

RM130

Per Pek

Bantu viralkan

Kami amat-amat menghargai tuan puan untuk berkongsi kempen derma ini ke media sosial dibawah. Ianya amat membantu pendedahan kempen yang kami anjurkan kepada masyarakat di luar sana. Klik pada mana-mana butang dibawah: